Apa Itu Urolithiasis?

Urolithiasis ialah keadaan di mana bahan terlarut dalam air kencing berkumpul lalu mengeras menjadi batu karang. Batu ini boleh terbentuk di buah pinggang (nephrolithiasis), ureter, pundi kencing, atau saluran kencing lain.

Keadaan ini boleh berlaku kerana:

  • Air kencing bertakung (masalah anatomi atau halangan saluran kencing).

  • Air kencing terlalu pekat akibat kurang minum air.

  • Faktor pemakanan seperti tinggi oksalat (bayam, teh, kekacang) atau garam.

  • Jangkitan kuman saluran kencing.

  • Masalah metabolik seperti asidosis atau gout.

  • Kesan ubat tertentu.

  • Faktor genetik jarang berlaku, contohnya cystinuria.

Jenis-jenis Batu Karang

Batu karang terbentuk daripada bahan kimia berbeza dalam air kencing:

  • Batu kalsium (75–85%) – paling biasa, biasanya kalsium oksalat atau kalsium fosfat.

  • Batu asid urik (8–10%) – kerap terjadi pada pesakit gout.

  • Batu struvite (7–8%) – terbentuk akibat jangkitan kuman saluran kencing.

  • Batu sistin (1–2%) – jarang berlaku, berkait dengan faktor keturunan.

Faktor Risiko Penyakit Batu Karang Buah Pinggang (Nephrolithiasis)

1. Faktor Individu & Sejarah Perubatan

  • Sejarah keluarga – Jika ada ahli keluarga pernah kena batu karang, risiko meningkat kira-kira 2.5 kali ganda.

  • Pernah ada batu karang sebelum ini – Risiko untuk dapat semula sangat tinggi: 15% dalam tahun pertama, dan sehingga 50% dalam 10 tahun berikutnya.

  • Jantina – Lelaki lebih cenderung mendapat batu karang berbanding wanita.

  • Penyakit kronik – Diabetes, tekanan darah tinggi, gout, obesiti, dan sindrom metabolik meningkatkan risiko.

2. Faktor Berkaitan Air Kencing

  • Air kencing berasid (pH ≤5) – meningkatkan risiko batu asid urik. Sering dikaitkan dengan cirit-birit kronik, gout, atau asidosis metabolik.

  • Air kencing pekat kerana kurang minum air – menyebabkan bahan kimia dalam kencing lebih mudah membentuk kristal.

  • Jangkitan saluran kencing (UTI) – sesetengah bakteria menghasilkan enzim urease yang menjadikan air kencing lebih beralkali, seterusnya membentuk batu struvite.

3. Faktor Pemakanan

  • Pengambilan garam tinggi – menyebabkan lebih banyak kalsium masuk ke dalam air kencing (hypercalciuria).

  • Terlalu banyak protein haiwan (daging) – meningkatkan penghasilan asid urik, menurunkan pH air kencing, mengurangkan sitrat, dan seterusnya mendorong pembentukan batu.

  • Makanan tinggi oksalat (contohnya bayam, teh, coklat, kacang) – boleh meningkatkan risiko batu kalsium oksalat.

  • Pengambilan kalsium terlalu rendah – menyebabkan usus menyerap lebih banyak oksalat, lalu meningkatkan risiko batu.

  • Pengambilan kalsium terlalu tinggi – juga tidak baik, kerana boleh menyebabkan keadaan hypercalciuria.

  • Minuman bergula berkarbonat (soda) – pengambilan setiap hari boleh menaikkan risiko batu karang sehingga 22–33% berbanding mereka yang jarang minum.

  • Pengambilan kopi rendah – kajian menunjukkan orang yang minum lebih banyak kopi berkafein kurang berisiko terkena batu karang.

  • Jus buah – secara umum tidak memberi manfaat besar, kecuali jus lemon yang membantu kerana kandungan sitratnya tinggi. Jus kranberi pula tidak terbukti berkesan untuk mencegah batu karang.

Cara Kurangkan Risiko

  • Minum air secukupnya sehingga pengeluaran air kencing ≥2 liter sehari.

  • Lebihkan sayur-sayuran, buah, dan serat dalam diet harian.

  • Kurangkan garam, daging merah, dan makanan proses.

  • Ambil kalsium dalam jumlah sederhana melalui produk tenusu, bukan terlalu rendah atau berlebihan.

  • Elakkan minuman manis bergas, amalkan air kosong atau jus lemon sebagai pilihan lebih sihat.

Gejala Batu Karang

Tanda-tanda yang biasa berlaku termasuk:

  • Sakit yang kuat di bahagian belakang, pinggang atau tepi perut (sakit boleh datang secara tiba-tiba dan berulang).

  • Sakit ketika kencing.

  • Air kencing berdarah (warna merah jambu, merah atau coklat).

  • Air kencing keruh atau berbau.

  • Kerap kencing atau rasa tidak puas selepas kencing.

  • Loya dan muntah (jika sakit terlalu kuat).

Pemeriksaan & Diagnosis Batu Karang

1. Ujian Air Kencing (Urinalysis)

  • Wajib dilakukan untuk semua pesakit yang disyaki mengalami batu karang.

  • Darah dalam air kencing (hematuria) biasanya dikesan, tetapi 10–15% pesakit mungkin tiada tanda ini.

  • Kehadiran kristal dalam air kencing boleh memberi petunjuk kepada batu karang.

  • Jika terdapat nitrit, leukosit, atau bakteria, ia menunjukkan kemungkinan jangkitan kuman. Dalam keadaan ini, kultur air kencing perlu dibuat dan rawatan antibiotik diberikan segera.

  • Jika pesakit demam atau tanda jangkitan jelas, ujian darah seperti kiraan sel darah putih (WBC) perlu dibuat.


2. X-ray KUB (Kidneys, Ureters, Bladder)

  • Imej X-ray yang merangkumi buah pinggang, ureter, dan pundi kencing.

  • Kelebihan: boleh kesan batu karang yang bersaiz besar atau mengandungi kalsium.

  • Kelemahan: mungkin terlepas batu kecil, batu yang dilindungi oleh gas usus, atau batu yang tidak kelihatan pada X-ray (radiolusen, contohnya batu asid urik).


3. Ultrasound

  • Sesuai digunakan untuk melihat sama ada terdapat halangan pada buah pinggang (hydronephrosis) akibat batu.

  • Sangat penting dalam kehamilan, kerana X-ray tidak digalakkan pada wanita hamil.

  • Boleh kesan batu yang besar (≥4 mm), termasuk batu asid urik dan jenis tidak berkalsium.

  • Kelemahan: sukar mengesan batu kecil (<5 mm) dan sukar menilai batu dalam ureter.

Pesanan dari Klinik Awla

Jika anda mengalami sakit pinggang yang kuat, air kencing berdarah, atau disyaki batu karang, segera dapatkan pemeriksaan di klinik. Rawatan awal dapat mencegah komplikasi serius pada buah pinggang anda.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.